Alam universiti memang menyeronokkan, lebih-lebih lagi bila ada insan yang sering menemani kamu untuk belajar bersama-sama. Teman istimewa dapat memberikan semangat dan sokongan terhadap pelajaran kamu. Walaupun masih belajar, tiada kesalahan mempunyai teman istimewa asalkan kamu tahu batas-batasnya. Ayuh pelajari tip-tip membahagikan antara cinta dan cita.
Belajar Bersama
Belajar berseorangan tentu akan mendatangkan rasa mengantuk dan bosan lebih-lebih lagi subjek yang memerlukan pembacaan. Namun bila ada teman istimewa di sisi, tentu semangatnya datang bagai diseru-seru. Ajak teman kamu bersama-sama merealisasikan impian untuk memperoleh kejayaan. Sesi pembelajaran tentu akan tampak lebih menarik kerana kamu mempunyai rakan untuk berkongsi idea dan bertukar-tukar pandangan.
 
Destinasi Bermanfaat  
Apabila tiba hujung minggu, kamu pasti keluar berdua sama ada untuk menonton wayang ataupun bersiar-siar.Apabila kamu keluar, cuba ubah destinasi pilihan tersebut. Ajak dia menemani kamu ke perpustakaan, kedai buku, pesta buku serta pameran-pameran pendidikan.Selain keluar mengambil angin, kamu juga dapat menambahkan ilmu pengetahuan dengan berkunjung ke tempat-tempat yang bermanfaat.
 
Sumber Inspirasi 
Sebagai remaja, tentu kamu sentiasa menjadikan sumber inspirasi kamu sebagai idola untuk berjaya. Selain melihat personalitinya yang menarik perhatian,pencapaiannya dalam akademik juga perlu kamu contohi. Tanya tip dan caranya belajar agar kamu juga berjaya seperti sumber inspirasimu itu. Rebutlah cinta dan cita-cita agar kamu seimbang dalam kedua duanya perkara ini.
 
Beri Galakan
Alam belajar kadang kala boleh menimbulkan pelbagai tekanan dan bebanan kepada kamu lebih-lebih lagi bagi yang aktif sebagai perwakilan pelajar atau memegang jawatan penting. Kadang-kadang bila dipenuhi dengan pelbagai bebanan tugas, emosi akan bercampur baur. Di sinilah perlunya sikap saling memahami pasangan masing-masing. Beri galakan dan semangat agar dia sentiasa merasakan kamu tulang belakangnya dalam apa jua yang dilakukannya.
 
Berkongsi Masalah 
Selain keluarga, kamu juga boleh berkongsi masalah dengan orang yang kamu sayangi. Beritahu masalah kamu sama ada dalam pelajaran ataupun tentang kehidupan di universiti. Dia akan lebih memahami kerana kamu berada dalam persekitaran yang sama. Saling membantu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah tetapi dapat juga merapatkan hubungan kamu berdua